BAB 3 : PERBEZAAN INDIVIDU
IMPLIKASI
PERBEZAAN INDIVIDU TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
1.0 PENGENALAN
Menurut
Suppiah Nachiappan (2008), perbezaan individu memberikan kesan yang besar
terhadap kepelbagaian tingkah laku dalam bilik darjah. Bagi jangka masa pendek
perbezaan yang wujud di kalangan murid tidak menampakkan kesan pembelajaran
yang ketara. Perbezaan yang wujud akan
beransur-ansur merenggangkan hubungan antara rakan dengan rakan sekiranya tidak
dibendung dari peringkat awal. Perbezaan individu merupakan cabaran terbesar
kepada guru dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan kondusif.
Bagi memastikan semua murid memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran, setiap
guru perlu membuat persediaan yang rapi kerana dalam setiap kumpulan tidak akan
wujud kumpulan yang setara keupayaan berfikir dan memahami apa yang disampaikan
oleh guru. Perbezaan gaya berfikir juga menentukan gaya pembelajaran seseorang
murid. Sehubungan itu, guru haruslah mengkaji perbezaan murid-muridnya bagi
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
2.0 IMPLIKASI PERBEZAAN INDIVIDU DAN GAYA
PEMBELAJARAN TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)
2.1 Perbezaan gaya berfikir
Perbezaan
gaya berfikir merujuk kepada gaya kognitif dan gaya murid belajar. Kedua-dua
gaya terhasil daripada perbezaan individu. Kedua-dua gaya ditunjukkan oleh
murid dalam kelas seperti ada yang lebih selesa belajar menggunakan kemudahan
audio dan ada pula yang selesa dengan menggunakan alat visual. Murid-murid yang
cepat bertindak akan cepat menyiapkan kerja-kerja rumah. Bagi murid-murid yang
tidak berminat dengan kerja rumah akan menghantar lewat tugasannya kepada guru.
Gaya
belajar dikelaskan sebagai gaya belajar bergantung, bebas, mengelak,
bekerjasama, bersaing dan mengelakkan diri. Guru boleh mengenal pasti dengan
jelas keenam-enam gaya belajar di atas dalam sesebuah kelas. Manurut pakar
psikologi, terdapat sekurang-kurangnya dua puluh perbezaan gaya belajar dalam
kalangan individu. Oleh itu, guru perlu membuat penyelidikan bagi mengkaji dan
meneliti perlakuan setiap murid dalam kelas yang diajarnya sebelum pengajaran
dimulakan.
Menurut
teori pembelajaran pengalaman, terdapat empat peringkat pengalaman yang dilalui
oleh murid iaitu, pengalaman konkrit, pemerhatian, reflektif, perkonsepan abstrak
dan percubaan aktif. Hasil daripada empat peringkat ini, lahirlah individu
dengan gaya belajar yang tersendiri sama ada diverger, assimilator,
konverger, ataupun akomodator.
2.2 Objektif pengajaran dan pembelajaran
Objektif
pembelajaran perlu ditentukan mengikut kemampuan murid. Bagi murid yang pintar,
objektif pembelajaran perlu lebih tinggi daripada murid yang lemah. Objektif
pembelajaran perlu mengikut aras yang dicadangkan oleh taksonomi Bloom, iaitu
aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis dan sintesis. Aras kesukaran
pada objek atau penilaian perlu berubah mengikut prestasi murid. Bagi murid-murid yang pintar cerdas tentu memerlukan
objektif yang lebih luas jika dibandingkan dengan kumpulan yan lemah.
2.3 Kesediaan belajar
Sememangnya
diketahui bahawa umur merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan kesediaan
kanak-kanak untuk belajar. Namun demikian, kanak-kanak yang sama umurnya tidak
semestinya berada di peringkat kesediaan belajar yang sama. Murid-murid yang
mendapat pendidikan asas di rumah dan pernah memasuki kelas tadika dan pra
sekolah akan kelihatan cukup bersedia semasa guru memulakan sesuatu pengajaran.
Keadaaanya adalah berbeza dengan murid-murid yang tidak dapat menikmati
kemudahan dan keperluan tersebut.
Murid-murid
yang telah dikenal pasti mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesediaan
kognitif dan kesediaan psikomotor memerlukan pertimbangan sewajarnya daripada
guru dalam pemilihan kaedah dan teknik mengajar. Murid-murid yang pintar
selalunya bersedia awal untuk belajar berbanding dengan murid lembam yang
memerlukan ransangan yang lebih untuk menggerakkan mereka belajar. Perlu
diperhatikan juga tahap kecergasan dan kestabilan emosi murid sebelum pengajaran
dimulakan. Oleh itu, dicadangkan guru membuat pemerhatian awal secara rambang
untuk mendapatkan tahap kesediaan murid pada hari itu.
Di
peringkat sekolah menengah pula, disamping perbezaan dari segi umur, faktor
motivasi, tekanan emosi, pemilihan mata pelajaran yang sesuai, keyakinan diri
dan sikap guru terhadap murid juga mempengaruhi kesediaan seseorang untuk
belajar. Contohnya, sekiranya seorang pelajar tidak meminati mata pelajaran
Geografi dipaksa oleh guru untuk mengambilnya, besar kemungkinan pelajar
tersebut tidak akan menyediakan dirinya untuk belajar. Situasi ini jika
berlarutan akan menyebabkan keputusan peperiksaan pelajar tersebut turut
terjejas.
2.3 Gangguan pengajaran dan pembelajaran
Gangguan
pengajaran dan pembelajaran berkaitan dengan kesediaan belajar. Murid-murid
yang bersedia belajar selalunya akan memudahkan guru memulakan pengajaran.
Mereka juga biasanya saling bekerjasama dengan rakan-rakan dalam sebarang
aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Sebaliknya bagi murid yang bermasalah seperti
malas belajar, meminta perhatian yang berlebihan, nakal dan berkelakuan tidak
senonoh, mereka akan menggangu pembelajaran. Murid-murid ini akan menggangu
rakan, membuat bising dan tidak mengendahkan arahan guru. Guru harus
berhati-hati menangani murid-murid salah laku yang berkecenderungan merosakkan
harta sekolah dan mencetuskan pergaduhan dengan rakan lain. Walau bagaimanapun,
terdapat kes-kes murid yang cerdik menggangu pembelajaran seperti terlalu
proaktif, menyudahkan kerja terlalu cepat dan berani melawan.
2.4 Kadar kecerdasan mengikut jantina
Manusia
memang jelas berbeza dalam kadar dan kebolehan. Darjah kecerdasan biasanya
berubah-ubah mengikut umur, sikap, kematangan dan faktor persekitaran.
Berbagai-bagai jenis ujian, kajian telah dan sedang dilaksanakan untuk mengukur
darjah kecerdasan kanak-kanak. Kajian-kajian di negara Barat membuktikan bahawa
kecerdasan seseorang akan bertambah apabila umurnya meningkat. Hal ini adalah sejajar dengan pendapat bahawa
seseorang pelajar yang telah sedar akan nilai pendidikan akan mempunyai
inisiatif dan motivasi yang kuat untuk belajar. Pada umumnya, keupayaan intelek
dan penguasaan bahasa pelajar perempuan di peringkat sekolah rendah adalah
lebih baik daripada pelajar lelaki. Sebaliknya, tahap kecerdasan pelajar lelaki
adalah sederhana dan akan meningkat mencapai kematangan apabila sampai ke
peringkat pengajian tinggi. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa
tahap kecerdasan pelajar perempuan akan kekal stabil apabila sampai ke
peringkat pengajian tinggi. Mungkin itulah sebabnya mengapa angka kemasukan
pelajar perempuan ke pusat pengajian tinggi adalah lebih ramai daripada lelaki.
Walaupun demikian, kajian tentang perbezaan pada kebolehan antara jantina masih
belum lagi dapat dilaksanakan dengan secukupnya untuk merumuskan satu
kesimpulan yang sempurna.
2.5 Latar belakang kehidupan
Keadaan
latar belakang kehidupan sesebuah keluarga ada hungkait dengan kemajuan
anak-anaknya. Sebagai contoh kita sering mendengar kebanyakan sekolah di Bandar
mencatatkan keputusan peperiksaan umum yang cemerlang. Apabila ditinjau dan
diteliti, murid-murid dari “sekolah-sekolah cemerlang” ini sebenarnya mempunyai
latar belakang keluarga yang sempurna. Keluarga berkenaan menyediakan
berbagai-bagai kemudahan pembelajaran seperti menghantar anak-anak mereka ke
kelas-kelas tambahan, kemudahan komputer
berinternet dan buku-buku rujukan yang lengkap. Sebaliknya, murid-murid yang
berasal dari kawasan luar bandar biasanya lebih rendah pencapaian mereka dalam
sesuatu peperiksaan terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan
Matematik. Hal ini kerana mereka kurang didedahkan dengan faktor-faktor
persekitaran yang boleh mendorong mereka untuk belajar dengan
bersungguh-sungguh. Sikap keluarga dan pengaruh sosiobudaya masyarakat di luar
bandar secara tidak langsung mempengaruhi suasana pembelajaran di kalangan
murid-murid.
2.6 Kebolehan fizikal
Pada
umumnya, kanak-kanak mempunyai kebolehan yang berbeza untuk melaksanakan
kegiatan-kegiatan yang melibatkan psikomotor. Keadaan ini jelas terbukti melalui
kecergasan dan kemahiran kanak-kanak dalam sebarang kegiatan atau permainan
tertentu yang bergantung kepada kematangan oto-otot pada organ-organ yang
penting. Penyelarasan psikomotor dan kebolehan bertambah selari dengan
meningkatnya umur. Peningkatan umur akan membawa bersamanya kuasa untuk
mengekalkan perhatian, penyelarasan otot, kepantasan, ketetapan kawalan dan
penentangan kepada kelesuan.
Kanak-kanak
di peringkat sekolah rendah harus menguasai asas iaitu kemahiran membaca,
menulis dan mengira. Kemahiran-kemahiran asas seperti menulis sangat bergantung
kepada sejauh mana otot kecil mata, jari dan tangan bekerjasama dengan kekuatan
pemikiran individu. Oleh itu, pelajar yang mempunyai koordinasi yang baik
diantara otot-otot mata dengan otoot-otot yang terdapat di bahagian lengan
biasanya dapat menulis dengan cepat dan cantik sekiranya dibandingkan dengan
yang menghadapi masalah dalam penyelarasan otot-otot tersebut.
2.7 Perbezaan sosial
Murid-murid
yang bersifat ekstrovert biasanya aktif mengambil bahagian dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga tidak teragak-agak menyoal guru
tentang aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran yang mereka kurang memahami.
Oleh itu, mereka akan membentuk konsep-konsep yang lebih jelas den seterusnya
dapat menunjukkan pencapaian persekolahan yang lebih baik. Sebaliknya,
murid-murid yeng bersifat introvert, iaitu yang gemar berseorangan biasanya
akan menarik diri daripada penyertaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di
samping itu, mereka akan berasa malu dan takut untuk mengemukakan soalan-soalan
sekiranya menghadapi pelbagai kesulitan atau keraguan. Hal ini seterusnya akan
menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam kemajuan persekolahan.
2.8 Perbezaan emosi
Murid-murid
yang berasal daripada keluarga yang bahagia serta mendapat asuhan ibu bapa yang
sempurna akan mengalami kestabilan emosi. Murid-murid seperti ini tentu dapat
memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas.
Penumpuan seperti ini tetap akan membantu mereka membentuk konsep-konsep yang
jelas dalam pelbagai mata pelajaran. Situasi seperti ini akan membolehkan
pelajar berkenaan memperoleh pencapaian akedamik yang baik di dalam bilik
darjah. Sebaliknya, murid yang berasal daripada keluarga yang retak atau ibu
bapa yang terlalu sibuk sentiasa mengalami masalah emosi kerana kekurangan
kasih sayang dan perhatian. Emosi yang kurang stabil tetap akan menjejaskan
penumpuan mereka terhadap mata pelajaran yang diajar oleh guru di dalam kelas.
Keadaan ini tentu akan menjejaskan pencapaian akedemik mereka.
3.0 PERANAN GURU DALAM MENGHADAPI PERBEZAAN
INDIVIDU
Guru
ialah objek penting perlu mengetahui dan menangani perbezaan individu.
3.1 Mempelbagaikan strategi pengajaran dan
pembelajaran
Strategi
yang berkesan adalah diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada
umumnya, strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis iaitu strategi
pemusatan, iaitu pemusatan kepada guru, murid atau pada bahan. Pemilihan
strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi murid. Pemusatan strategi
pengajaran oleh guru bergantung pada situasi murid. Pemusatan strategi yang dipilih
adalah tidak tetap kerana ia boleh diubah-ubah mengikut keadaan semasa murid.
3.2 Memberi peneguhan positif dan peneguhan
negatif
Ahli
psikologi mengambil berat tentang kemahiran guru menggunakan peneguhan di dalam
bilik darjah. Peneguhan positif bermakna guru memberikan pujian atau hadiah
kepada satu tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid. Sebalikknya, jika
sesuatu tingkah laku yang dibentuk oleh murid tidak dikehendaki atau negatif
guru boleh menggunakan penangguhan nagatif.
3.3 Teknik motivasi
Motivasi
bermakna penggerak untuk memandu tingkah laku murid kearah yang lebih dinamik.
Guru mungkin bertemu kumpulan murid-murid yang tidak bermaya, malas belajar,
tidak mempunyai cita-cita dan suka ponteng kelas. Mengikut Greece, seorang tokoh motivasi, menyatakan setiap
tingkahlaku individu yang berbeza-beza memerlukan satu teknik motivasi yang
berbeza-beza. Seorang yang malas belajar dengan seorang yang tidak mempunyai
cita-cita memerlukan tenaga penggerak yang berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu
biasa dan memahirkan diri dengan pelbagai teknik motivasi.
3.4 Mempelbagaikan kaedah mengajar
Perbezaan
individu boleh berlaku pada sebarang peringkat umur iaitu sama ada pada
kanak-kanak ataupun orang dewasa. Bagaimanapun, dalam situasi pengajaran, para pendidik
yang peka dan berpengalaman boleh mengatasi keadaan perbezaan murid-murid
dengan memperkenalkan pelbagai kaedah pengajaran iaitu;
a) Kaedah
kumpulan mengikut kebolehan
Di peringkat sekolah rendah, murid-murid biasanya
mempunyai kebolehan yang berbeza dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis
dan mengira. Maka guru-guru boleh menggunakan kaedah kumpulan untuk
mengatasinya.
Pengumpulan sejenis atau homogenus ini adalah berdasarkan
kepada prinsip bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih baik dan cekap. Guru akan
melihat kanak-kanak secara individu dan mengumpulkan mereka yang sama atau
hampir sama taraf kepada satu kumpulan. Biasanya guru menggunakan tiga kumpulan
iaitu kumpulan A, B dan C. Kumpulan A terdiri daripada murid-murid yang
dianggap pandai, kumpulan B murid-murid sederhana manakala kumpulan C
murid-murid yang lemah. Dengan menggunakan kaedah tersebut, guru dapat mengenal
pasti punca kelemahan murid dan dapat memberikan penumpuan yang sepenuhnya. Dalam
beberapa bulan, besar kemungkinan murid-murid yang lemah akan dapat
meningkatkan lagi pencapaian iaitu setanding dengan kumpulan B dan A.
Guru juga boleh melihat
sekolah yang menggunakan nama kelas berbeza dalam sesuatu darjah bagi
membezakan kebolehan murid. Pembahagian kelas ini dilakukan selepas sesi
persekolahan semester pertama bermula. Murid dipilih berdasarkan pencapaian
purata mereka dalam peperiksaan akhir semester lepas. Oleh itu, guru tidak
perlu menggunakan kaedah kumpulan semasa mengajar di dalam sesebuah kelas.
b) Pengajaran
bebas dan menggunakan Bilik Sumber
Pengajaran bebas bermaksud memberi kebebasan kepada murid
dalam masa tertentu untuk belajar atau membuat kerja-kerja latihan di
sudut-sudut bacaan atau bilik sumber secara bersendirian atau berkumpulan.
Bilik-bilik yang dimaksudkan itu perlu mengandungi pelbagai sumber seperti
buku, majalah, akhbar dan komputer. Kanak-kanak digerakkan dalam pembelajaran
mereka dengan mengetahui apa yang dibuatnya dan dengan memulakan kegiatannya
sendiri kearah mencapai sesuatu peringkat. Tugas guru hanyalah sekadar
membimbing murid yang ingin mendapatkan bantuan. Kanak-kanak adalah bebas untuk
menyediakan tugasanya dengan sendiri melalui bantuan guru.
c) Pengajaran
pemulihan
Pengajaran pemulihan hanyalah ditumpukan kepada
murid-murid yang lemah dalam menguasai sesuatu kemahiran asas pembelajaran di
peringkat awal seperti di tahun 1
sekolah rendah. Pelajar yang terlibat biasanya tidak dapat mengikuti sebahagian
besar pengajaran yang disampaikan oleh guru sama ada secara formal atau tidak
formal. Tujuan pengajaran pemulihan ini adalah untuk mengurangkan masalah
pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar dan seterusnya membina sifat keyakinan
diri.
Guru boleh mengenal pasti pelajar yang dianggap terlampau
lemah denagn memerhatikan tingkah laku dan hasil kerja mereka. Ujian diagnostik
akan diberikan kepada mereka yang disahkan memerlukan pendidikan khas untuk
mengesan kelemahan-kelemahan yang utama. Sesudah dilaksanakan pengajaran khas,
satu ujian akan diberikan bagi menilai keberkesanan pengajaran tersebut.
Pelajar yang berjaya akan dimasukkan semula ke kelas biasa. Manakala mereka
yang gagal akan ditambahkan lagi masa bagi mmebolehkan mereka mendapat pendidikan
dan bimbingan yang lebih baik di kelas pemulihan.
d) Program
pengayaan
Seseorang pendidik perlu menyediakan satu program
pengayaan berdasarkan tahap pencapaian dan kemahiran asas yang ditunjukkan oleh
para pelajarnya. Program ini merupakan satu corak aktiviti pembelajaran yang
membolehkan murid-murid mengembangkan sifat ingin tahu, daya cipta, bakat
kepimpinan, minat belajar, semangat berdikari, motivasi dan memperluaskan lagi
dalaman.
Program ini boleh dilaksanakan sebaik sahaja guru
mengenal pasti peringkat-peringkat pencapaian murid. Murid yang cerdas diberi
beberapa latihan pembelajaran yang mencabar. Murid yang sederhana pula diberi
latihan yang bersesuaian dengan tahap mereka. Manakala, murid yang lemah,
latihan yang lebih mudah diberikan. Secara ringkasnya, program pengayaan ini
dapat menolong para guru merancang beberapa strategi pengajaran yang sesuai
dengan tahap kemampuan murid yang berbeza-beza.
e) Progran
berunit mengikut kecepatan sendiri murid
Dalam rancangan ini, guru menyediakan beberapa unit kecil
untuk diagihkan kepada semua pelajar. Rancangan ini membantu para pelajar
meningkatkan lagi pencapaian mengikut kecepatan mereka sendiri. Kaedah ini juga
dikenali sebagai kaedah Dalton. Melalui kaedah ini, pelajar digerakkan terlebih
dahulu tentang apa yang patut dilakukan. Mereka juga bebas untuk memilih
aktiviti pembelajaran yang disukai. Guru hanyalah bertindak sebagai pembimbing
dan bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang positif.
Sementara itu, graf kemajuan harian murid akan disimpan bagi melihat kebolehan
dan pencapaian mereka.
f) Kaedah
garak balas.
Kaedah ini bermaksud melatih murid membuat aktiviti sama
ada secara persendirian atau berkumpulan. Kaedah memerlukan penglibatan aktif
kanak-kanak dalam situasi belajar dan bukannya penerima yang pasif daripada guru. Aktiviti ini boleh dilakukan
dengan cara penyelidikan, lawatan, demonstrasi dan juga kerja-kerja projek.
Bagi memenuhi objek tersebut, guru harus menyediakan alat bantu mengajar yang
cukup kepada murid. Guru juga boleh menggalakkan murid memilih bahan atau alat
sendiri, iaitu sesuai dengan aktiviti yang hendak dilakukan. Guru dapat
mengetahui tahap pemikiran pelajar melalui hasil laporannya.
g) Pengajaran
terancang
Dalam pengajaran terancang, setiap murid akan belajar
mengikut kemampuan dan cara yang tersendiri. Guru perlu mahir dalam menyusun
strategi perancangan yang logik tanpa merujuk kepada buku teks. Terdapat tiga
jenis pengajaran terancang, iaitu jenis linear, semua murid dikehendaki
mendapatkan bahan yang sama, tetapi membuat kerja mengikut kadar yang
tersendiri. Murid akan mendapat maklum balas dengan segera dari guru tentang
apa yang dibuat. Jenis bercabang ialah pengajaran terancang yang disusun agar
murid yang cekap dapat mengikutinya dengan cepat. Jenis penyesuaian pula ialah
yang dianggap tercanggih melalui penggunaan komputer bagi mengawal tahap
kebolehan individu.
Pada
masa ini terdapat berbagai-bagai kaedah mengajar telah dicipta. Kaedah-kaedah
mengajar ini disukai oleh murid secara berbeza-beza. Contohnya, ada murid yang
tidak suka dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran bersama rakan manakala ada
juga murid yang suka kepada bentuk pengajaran dan pembelajaran di luar bilik
darjah. Guru perlu mendalami kecenderungan kaedah pengajaran yang disukai oleh
murid. Walau bagaimanapun, guru pastinya tidak dapat memenuhi permintaan
kehendak semua murid tetapi dengan mempelbagaikan kaedah mengajar akan dapat
mengurangkan kebosanan murid.
3.5 Merancang variasi penyampaian
Variasi
penyampaian bermakna guru menggunakan segala kebolehan dan bakat sebagai guru
semasa berhadapan dengan murid. Guru perlu menggunakan semua pencainderanya
seperti tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan kepala dan gerakan fizikal guru
yang berbagai-bagai. Dengan mempelbagaikan variasi rangsangan mampu menarik
perhatian murid. Murid yang mengantuk secara tiba-tiba akan terjaga apabila
mendengar tepukan tangan guru. Murid yang suka menggangu rakan akan berhenti
mengganggu rakan apabila guru bergerak menghampirinya. Guru dikehendaki selalu
menukar-nukarkan intonasi suara supaya murid-murid benar-benar terhibur. Banyak
kajian menunjukkan murid-murid tidak berminat belajar disebabkan oleh
persembahan pengajaran guru tidak memberangsangkan.
3.6 Nasihat kaunseling pembelajaran
Individu
yang berbeza-beza memerlukan teknik nasihat yang berbeza-beza. Guru perlu
mempunyai asas kemahiran kaunseling. Etika kaunseling adalah penting apabila
berhadapan dengan murid. Pasti ada murid yang tidak sanggup berhadapan dengan
pembetulan tingkah laku secara terang-terangan. Terdapat juga murid yang memerlukan
bantuan rakan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka. Kepercayaan murid pada
guru bergantung kepada perhatian guru kepada mereka. Guru yang memahami masalah
murid sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah pembelajaran murid.
3.7 Menghubungi keluarga
Tingkah
laku murid kadang-kadang berbeza dengan apa yang dipamerkan di sekolah dan
rumah. Oleh itu, guru perlu bersedia menjalinkan hubungan dengan keluarga murid
untuk berkongsi mengenali tingkah laku murid. Kemampuan guru berkomunikasi
dengan ibu bapa membantu memudahkan guru mengesuaikan teknik-teknik mengajar.
KESIMPULAN
Perbezaan
individu adalah satu elemen yang penting dalam bidang psikologi pendidkan.
Perbezaan individu dalam kalangan murid harus dipelajari dan dikenal pasti oleh
seseorang guru bagi melancarkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Cabaran paling besar guru-guru adalah untuk menangani pelbagai kesan
yang disebabkan oleh perbazaan individu dan melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran dengan baik supaya ianya memberi faedah kepada semua murid.
RUJUKAN
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI
Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Suppiah, Ramlah, Abdul Aziz (2008). Siri Pendidikan Guru: Psikologi Pendidikan. Selangor:
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng. (1996). Psikologi Pendidikan 1: Psokologi Perkembangan Semester 1. Shah
Alam, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Murugiah Velayutham. (1996). Psikologi Pendidikan 1: Psikologi
Perkembangan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan: Psikologi Pendidikan. Selangor:
Penerbit Multimedia Sdn. Bhd.
Syarifah Alwiyah Alsagoff. Psikologi Pendidikan 1. Longman
HALIMAH BINTI ABDULLAH
DPLI MU/RBT